Pembentukan Usrah yang pertama yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w ialah di rumah al-Arqam bin Abi –Arqam. Rasul mengajar mereka yang hadir setiap ayat Quran yang diturunkan. Baginda juga menekankan proses pembinaan sifat-sifat luhur seperti baik hati,amanah, bertanggungjawab, bercakap benar, berani dan sebagainya di dalam diri para sahabat.
Usrah berdiri di atas tiga rukun utama:
1. Taaruf
- Ia merupakan rukun pertama dan terpenting. Tanpanya tidak akan terhasil dua rukun selepasnya.
- Dengan taaruf inilah akan lahir perasaan kasih sayang dan merasai ukhuwwah islamiyah yang sebenarnya. Ahli-ahli akan berusaha menghilangkan perkara yang boleh membawa kekeruhan dalam perhubungan.
- Ahli-ahli cuba mengaplikasikan makna ukhuwwah dari tuntutan al-Quran dan Hadis :
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu sebenarnya bersaudara”
“ dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah berpecah belah…”
Sabda Rasulullah SAW : “ seorang mukmin kepada mukmin yang lain ibarat satu binaan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain” ( riwayat Bukhari dan Muslim).
“ Seorang muslim bersaudara dengan muslim yang lain, dia tidak menzalimi dan membiarkan saudaranya dizalimi..” ( riwayat Bukhari : Fathul Bari : 2334)
2. Tafahum
- Rukun kedua pula ialah tafahum ( saling faham memahami). Rukun faham ini bertujuan agar setiap akh sentiasa istiqamah atas manhaj kebenaran dan melaksanakan apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan laranganNya.
- Mereka saling bermuhasabah atas ketaatan dan maksiat dan saling memberi nasihat jika melihat kekurangan yang ada pada akh mereka. Setiap akh bersedia memberi nasihat pada akh yang lain manakala akh itu pula bersedia menerima nasihat tersebut.
- Jika akh itu tidak mampu merubah akh yang lain dengan nasihat, hendaklah ia menggunakan saluran murabbi. Murabbi akan membantu menyelesaikan dan membaiki kelemahan akh tadi.
- Nasihat tadi diberikan dengan penuh lembut, pandangan kasih sayang. Akh yang menerima nasihat tersebut, sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada, tidak membalas dengan kata-kata yang kasar, berubah persepsi pada akh sehalaqah. Ini kerana kasih sayang kerana Allah adalah setinggi martabat dan nasihat adalah bahagian dari rukunnya.Peringkat paling rendah salamatus sadr ( sejahtera hati) dan paling tinggi ithar ( mengutamakan akh dari dirinya).
- Perkara yang kedua untuk membina tafahum ialah sikap saling taghafur ( mendoakan keampunan) pada akh seusrah. Sentiasa kita mendoakan kesejahteraan, kethabatan dan keampunan buat akh kita agar sentiasa dalam momentum dakwah dan perjuangan.
3. Takaful
- Takaful pula bermaksud setiap akh akan memikul beban akh yang lain sebagai bukti ketinggian iman dan keluhuran ukhuwwah.
- Setiap akh hendaklah saling berjanji setia untuk melakukan kebaikan, prihatin, segera membantu jika ada kesulitan yang menimpa akh lain.
- Serendah-rendah takaful ialah memberi bantuan apabila diminta, paling sederhana ialah membantu dengan kadar hajat yang diperlukan dan takaful yang paling tinggi ialah memberi bantuan walaupun tanpa diminta.
- Rasulullah SAW bersabda : “manusia yang paling disayangi ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain, sebaik-baik amalan pula ialah memberikan kegembiraan pada saudara seislam, menghilangkan kesusahannya, melunaskan hutang, menghapuskan kelaparannya, sesungguhnya aku suka berjalan bersama saudaraku untuk menunaikan hajatnya lebih aku sukai dari beriktikaf di dalam masjid ini sebulan…”
No comments:
Post a Comment